.

Rabu, 4 Januari 2017

"Bila terakhir kali kau sedekah?"


Petang tadi macam biasa, lepas kerja aku call Pak Yusof, teman ngeteh bawah pokok cermai, tepi surau, Setapak. Biasanya kami lepak malam. Memandangkan aku ada kerja malam ni, jadi aku ajak Pak (Pak Yusof) ngeteh awal sikit.

Macam biasa, kalau jumpa Pak tak sah kalau tak kena 'basuh'. Pak memang akan kasi 'cuci' bersih kepala otak aku yang selalunya berkeladak dengan macam-macam hal (semua nak simpan, tak nak buang...sayang...hahahaha).

Bersama 2 gelas teh tarik kurang manis, aku dan Pak bersembang macam-macam topik termasuk hal sedekah.

"Bila kali akhir kau sedekah?"

Aku sengeh. Aku tahu, Pak ada modal nak 'membasuh' aku petang ni. Jadi, aku yang tengah sarat dengan beban kepenatan hanya mampu senyum dan serah diri.

"Kau sakit, kau bersedekah. Kau susah, sedekah. Kau susah hati, tertekan...kecewa, marah, sedih...sedekah. Tak banyak pun tak apa, paling penting sedekah tu 'sampai kat hati perut' kau. Jangan ingat bila ada duit saja kena bersedekah. Kau ada RM5, kau sedekah RM2.

"Pak cakap ni kau jangan nak sengeh-sengeh saja. Buat! Tu, bawak kereta jangan macam pelesit kena simbah air yasin. Mati ko nanti, sapa nak teman Pak ngeteh?"

#Pak Yusof, teman ngeteh bawah pokok cermai tepi surau, Setapak.

Isnin, 2 Januari 2017

Merai sahabat...

Lama betul sahabat sorang ni tak datang rumah. Kelmarin dia sms kata nak singgah rumah, bawa anak dan isteri sama. Gumbira betul, macam biasa dia 'order' #nasiberlauk #gulaiikantongkol dan #sambaludangpetai. So, pagi lagi dah berperang kat dapur. Pencuci mulutnya nanti cuma tembikai dan puding jagung.

Mula-mula masak yang susah dulu, Gulai Ikan Tongkol. Susah tu bukan pasal apa, kena perah santan bagai. Lepas perap kelapa parut dengan air panas, baru blend dan perah. Kemudian, tumbuk rencahnya. Barulah terjunkan dalam periuk. Tak lama mana, dalam 15-20 minit siap seperiuk.

Lepas tu, masak pulak Sambal Udang Petai. Ini senang sebab semalam dah siapkan cili kisar. Jadi, pagi ni cuma tumbuk bawang je. Lebih kurang 10 minit dah siap sekuali. Semerbak wangi satu rumah bau petai. Aduhai.

Puding Jagung aku dah sediakan malam tadi (lupa snap gambar). So, potong-potong letak dalam pinggan. Tembikai pun potong sekali. Siap. Air sirap sama air suam. Siap.  Harap dia sekeluarga puas hati.