.

Khamis, 31 Oktober 2013

"Laki tak heran perempuan cantik (part 1)"...

Gambar hiasan semata, tiada kaitan dengan perkisahan di bawah ye.
"...perempuan ni cantik jelita maacam mana pun, tak guna kalau tak pandai layan laki. Macam 'simpan' patung cantik dalam rumah je, tak ada faedah!" Selamba Pok Nick berkata-kata, membuat aku terkesima. Sementara June sudah membulatkan biji matanya yang sedia buntang.

"Engkau cakap baik-baik sikit, apa pulak salah perempuan. Laki yang miang, tak boleh tengok perempuan dahi licin sikit nak disapunya!" Memetir suara June dengan mulut masih penuh dengan sisa Maggi Goreng Mamaknya.

"Kau tengok sendiri, berapa ramai perempuan cantik...jelita...badan ramping macam kerengga tapi akhirnya menjanda. Itu buktinya laki tak heran pun dengan perempuan cantik, yang penting pandai jaga laki!" Pok Nick mempertahankan hujahnya dengan beberapa bukti sambil memetik beberapa nama pelakon cantik di Malaysia (tak payahlah saya susah payah menulisnya di sini ye, paham-paham sendiri sudah!)

"Itulah jantan, bab nak menjatuhkan perempuan bagi kat dia. Semua salah perempuan, habis jantan tak salah?" Cukup beremosi June membalas bahas Pok Nick. Sebenarnya mereka berdua memang pantang bertemu muka, ada saja yang nak digaduhkan.

"Cuba kau fikir, agak-agak kenapa tunang kau cari awek lain?" Soal Pok Nick. Aduh...aku dah diserbu ngilu, takut kalau-kalau berlaku adegan tak diingini gara-gara soalan cepu cemas tu.

"Sebab jantan tu bodoh, aku dah tolong macam-macam tapi menikah dengan betina lain. Aku ni kurang apa? Belajar tinggi, rupa ada...gaji besar. Betina tu? Huh!" Balas June berapi-api. Pok Nick sengih sinis. Alahai...panjang lagilah episode perang mulut depa ni.

"Sebab ko tak jaga mulut! Cakap tu main hembus je, cuba kau lembut sikit. Ni, main jerkoh...bekeng sangat. Tunang mu tu bukan kucing!" Selamba Pok Nick 'membasuh' June, sampai terkulat-kulat muka June cuba nak membalas balik kata-kata mamat Kelate tu.

Hurmmm...Aku tak nafikan, ada betulnya kata-kata Pok Nick pasal June. Memang June agak bekeng sikit, sikit punya hal pun memetir dia marah orang. Tak kira di mana, suara petirnya over-control! Tapi, dia baik hati. Tak lokek tolong orang.

"Sudahlah, jodoh tu rahsia Allah, jangan kita nak persoalkan," lembut Misbun melontar nasihat, sekali gus meredakan kepanasan. Aku senyum, diam merenung gelas kaca berisi Teh O hangat. Pok Nick berdehem beberapa kali, sementara June menggamit pelayan minta tambah segelas kopi panas. Hmmm...mahu saja mencelah minta dia order Kopi O Ais, biar reda api yang membara dalam hatinya ketika itu.

*p/s: esok-esoklah aku huraikan lanjutan sesi dialog kami malam ini ye. Otak aku berat dengan beban migraine, lagipun esok masih perlu bekerja. Good nite dear readers.

Rabu, 30 Oktober 2013

Gila media sosial? Jom ikut cara Jamie Oliver...

Ditengah kegilaan warga dunia menekunkan diri dengan media sosial, chef popular Jamie Oliver ada cara tersendiri untuk mengawal keadaan ini. Bagaimana? Jom baca artikel di bawah.


Chef Selebriti Jamie Oliver Haramkan Anak Akses Media Sosial 
CHEF Selebriti Britain, Jamie Oliver telah mengharamkan dua orang anak perempuannya daripada memiliki telefon bimbit atau mengakses rangkaian media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram kerana khuatir mereka akan menjadi mangsa buli.

Chef berusia 38 tahun itu yang mempunyai empat orang anak bagaimanapun seorang pengguna media sosial yang aktif termasuklah memuat naik pelbagai foto keluarga menerusi Instagram.

Namun dia tidak membenarkan anak perempuan sulungnya Poppy, 11, dan Daisy, 10, daripada mengakses mana-mana rangkaian media sosial.

Malah dia tidak langsung membenarkan mereka memiliki telefon bimbit sendiri.

Bercakap kepada majalah Closer, Jamie berkata: “Sebaik sahaja saya mendapat tahun yang dua orang anak perempuan saya membuka akaun Instagram mereka sendiri secara senyap-senyap, saya terus mengarahkan mereka menutupnya. Saya memang tidak suka.”

Kata chef itu lagi, dia sedar yang anaknya Poppy sudah pun berusia 11 tahun dan menjadi satu-satunya murid di dalam kelasnya yang tidak dibenarkan memiliki telefon.

“Ya memang benar, tindakan saya itu mungkin kelihatan keterlaluan sedikit, tetapi pada masa yang sama saya perlu memikirkan kemungkinan yang mereka (anak-anaknya) akan menjadi mangsa buli menerusi laman sosial ini semua,” tegasnya.

Adalah dipercayai yang Jamie bertindak demikian berdasarkan pengalaman masa lalu yang menyaksikan bagaimana anak-anaknya menjadi mangsa perhatian ramai kerana status selebritinya dan juga kemunculannya di kaca televisyen.

Jamie Oliver, yang memiliki lima buah restoran atas namanya dan sekolah memasak menambah: “Saya tidak pasti sampai bilakah larangan ini akan berkuat kuasa termasuklah mengharamkan mereka menggunakan telefon pintar tetapi saya berazam untuk mengekalkannya selama mana yang boleh.” (Sumber berita: Mstaronline)

Selasa, 29 Oktober 2013

Alhamdulillah, tahniah Mizz Nina...

Benarlah, apabila Allah berkehendak mudah saja bagiNya untuk membalikkan hati yang dikehendaki. Bagi peminat penyanyi yang lincah di pentas nyanyian ini pasti sejuk hati melihat hijrah dirinya ketika ini.

Syukur, dalam keterujaannya memantapkan kerjaya seni isteri kepada Noh Hujan ini melakukan penghijrahan dalam hidupnya dengan tampil berhijab selepas selesai menunaikan fardu haji. Kita doakan perjalanan hijrah Nina dipermudahkanNya.

Petikan berita:
Penyanyi Mizz Nina mengesahkan yang dia kini sudah pun berhijab selepas pulang daripada menunaikan Haji di Mekah pada Jumaat lalu bersama suaminya vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, 29.

Pegawai perhubungan awam penyanyi wanita itu, Joe Saiful, berkata, Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 33, bagaimanapun memberitahu dia masih belum bersedia untuk bertemu atau menjawab sebarang persoalan media mengenai perubahan imejnya itu.

"Buat masa ini Nina masih lagi belum bersedia bertemu media untuk bercakap tentang imej barunya itu. Tetapi dia telah mengesahkan pada saya bahawa buat masa ini dia memang sudah pun bertudung," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin.

Tambah Joe, Nina memerlukan sedikit masa untuk tampil kepada media serta khalayak dengan imej yang bersesuaian.

"Nina seorang yang sangat peka dengan imejnya sebagai selebriti dan apabila sudah berhijab, Nina sedang mencari imej yang bersesuaian sebelum tampil di khalayak. Dalam pada itu, banyak juga perubahan yang harus dilakukan dalam karier muziknya. Sebab itu dia perlukan masa. Diharap semua pihak dapat memahami situasinya," tutur Joe.

Miz Nina juga merupakan anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Malaysia, Tan Sri Azman Hashim. (Mstaronline)

Kenyataan tak cerdik seorang menteri...

Muhammad Rafi’ie Azizan, anak kelima Allahyarham bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak
 YAN - Keluarga bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak mahu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat permohonan maaf secara terbuka.

Anak kelima daripada isteri pertama Allahyarham, Muhammad Rafi’ie Azizan, 32, berkata, beliau berbuat demikian kerana berasa kecewa berhubung kenyataan Muhyiddin yang mengaitkan penyakit kencing manis dengan kematian sambil mencontohkan ayahandanya.

“Saya mewakili kedua-kedua bonda saya, adik beradik saya serta sanak saudara Allahyarham ayahanda begitu terguris hati dengan kenyataan dibuat oleh Muhyiddin ketika berkempen, 26 Oktober lalu, genap sebulan kembalinya ayahanda ke rahmatullah.

“Beliau yang menyandarkan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi gula dalam Bajet 2014 telah mengaitkan keputusan kerajaan tersebut dengan penderitaan Allahyarham ayahanda, berikutan prosedur pemotongan kedua-dua belah kaki Allahyarham akibat penyakit diabetes,”
katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Induk Pas Kawasan Jerai, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau tampil membuat kenyataan media kerana ucapan Muhyiddin telah menyentuh sanubari mereka sekeluarga yang masih bersedih kehilangan insan tersayang.

“Air mata kami sekeluarga belum kering mengenangkan Allahyarham ayahanda dan kerinduan kami kepada ayahanda masih menyelubungi setiap detik yang kami lalui.

“Kehilangan Allahyarham ayahanda terlalu besar buat kami sekeluarga untuk dijadikan sebagai sandaran dan alasan bagi kenaikan harga gula oleh pihak kerajaan. Atas alasan apa sekalipun, dalam suasana pilu yang sedang kami sekeluarga hadapi, kami sekeluarga tidak dapat menerima ucapan dan sandaran beliau itu,”
katanya.

Ini berikutan, kenaikan harga gula itu sebenarnya adalah untuk mengurangkan beban kerajaan dan bukannya untuk mengurangkan jumlah penghidap diabetes.

“Kami memohon supaya Muhyiddin dapat membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kedua-dua bonda saya yang tercinta, adik beradik saya dan sanak saudara, sama ada yang dekat mahupun jauh, yang telah tersinggung dengan ucapan itu.

“Muhyiddin tidak wajar sama sekali menyeret penderitaan Allahyarham ayahanda Azizan sebagai modal politik beliau,"
katanya. (Sumber berita: Sinar Harian)

p/s: ...berhujahlah dengan fakta yang tidak menyingung mana-mana pihak (atau individu). Bercakap sesuatu membabitkan nama orang yang telah meninggal dunia bukan saja satu penghinaan nyata, malah satu yang bersifat tidak adil kerana si mati tidak lagi berupaya mempertahankan dirinya.

Isnin, 28 Oktober 2013

Emma Maembong @ Jelita Cover...


*p/s: ...putih melepak selebriti popular ni, cukup mesra dan disenangi sikapnya. Santai dengan gayanya tersendiri, banyak cerita menarik yang dikongsikan untuk tatapan pembaca Jelita. Begitu juga rencana lain khususnya pendedahan topik 'Penderaan & Penganiayaan Wanita', termasuk langkah demi langkah menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa yang dikongsikan Pengarah Urusan CPP Training and Services Sdn Bhd (CPPTS), Mahathir Manan. 




Selasa, 22 Oktober 2013

Nyaris kerjung dalam Gua Khao Kob...


Trang memang tak begitu dikenali kalangan pelancong asing walaupun kedudukannya berdekatan Phuket dan Krabi, namun wilayah yang terletak di selatan Thailand ini tetap mempunyai keistimewaan tersendiri untuk diterokai. Selain keindahan pantai, pulau dan lautan yang membiru kehijauan.

Dalam perjalanan menuju ke Krabi Ahad lalu, aku berkesempatan ke Gua  Khao Kob yang menawarkan pengalaman penerokaan cukup berbeza. Terletak di daratan, ruang gua ini disaliri air sungai dan untuk masuk ke dalamnya, perlu menaiki sampan.

Di dalam gua ini ada pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit yang menyerupai bermacam objek dan hidupan, ada kelihatan seperti anak gajah dan pelamin, ada juga tak ubah bagai tulang belakang naga. Ruang di dalam gua ini ada saliran, jadi sesetengah laluan memerlukan pengunjung menundukkan kepala bagi mengelak terkena siling gua yang sangat rendah.

Lebih mencabar,  ketika dalam perjalanan keluar kami bukan saja perlu tunduk, malah berbaring lurus di dalam sampan kerana jarak di antara sampan dengan siling gua tidak sampai sejengkal (kira-kira 350 meter menuju pintu keluar).

Kedua-dua pengemudi sampan awal-awal lagi memberi amaran supaya kami tidak bergerak ketika berbaring bagi mengelak kecederaan atau sampan terbalik. Seorang pengemudi menolak siling gua untuk menggerakkan sampan manakala seorang lagi menyuluh jalan.

"Don't worry, i save you. You save...you save!" Begitu kata-kata yang sering diucapkan pengemudi sampan, setiap kali kami menjerit kerana berasa lelangit gua begitu rapat dengan muka dan sampan merempuh dinding gua.

Perasaan aku waktu tu hanya Tuhan saja Maha Mengetahuinya. Pelbagai bayangan melintas di dalam fikiran. "Hah, macam mana kalau tiba-tiba air naik?", "Macam mana kalau lelangit gua tiba-tiba runtuh ke bawah dan menghempap sampan kami.", "Masya-Allah, macam sedang di tanam hidup-hidup."

Perjalanan menuju ke dalam perut gua Khao Kob
Rupa dalam perut gua
Takjubnya saya melihat keindahan isi gua ni
Apa lagi posing la sebelum balik...
 Apa tidaknya, ketika lelangit gua sangat hampir menyapu muka Ya Allah...gerunnya! Belum lagi dengan tiba-tiba pengemudi mengeluh keras, "I have no power...huh!"  Maksudnya apa? Dia tak ada tenaga mahu mengemudi sampan yang kami naiki, jadi bagaimana nasib kami (tapi jangan risau mereka tetap menolak sampan itu hingga ke pintu keluar walaupun kedengaran nafas mereka yang tercungap-cungap).

Keadaan di dalam Gua Khao Kob, ini belum cukup rapat dengan muka...ke depan lagi hambik...melaung sorang-sorang/gambar yang ni aku Google

Jadi, suka aku nasihatkan kalau Uolls ada masalah kesihatan serius seperti penakut (over penakut), sakit jantung, lemah jantung atau darah gemuruh sila jangan cuba-cuba masuk di dalam gua ini ya. Huh...Sebaik melihat semula cahaya dari pintu keluar, barulah perasaan cuak, bertukar lega. Semakin jauh sampan dikayuh, mata tidak lekang menatap keindahan alam yang ditinggalkan di belakang yang semakin mengecil hingga langsung tidak kelihatan.

Sewaktu  berangkat meninggalkan wilayah Trang dan meneruskan perjalanan ke Pulau Krabi, terbayang-bayang pengalaman meneroka keunikan dan keajaiban alamnya. Kenangan yang pasti terpahat kuat dalam ingatan.


*p/s: Terima kasih kepada Hotel Sungai Petani Inn (sebelum ini dikenali sebagai Hotel Aman Pura, Sungai Petani) & CT Global Travel And Tour, Alor Setar yang menaja perjalanan, makanan serta penginapan sepanjang berada di Sungai Petani juga Pulau Krabi.






Isnin, 21 Oktober 2013

Ada bisa di sudut itu...


...cinta, t'lah menyembunyikan pisaunya nan terbisa di dalam hatiku
memandang wajahmu adalah seksa
paling dahsyat pernah menerjah hidupku
lalu berlagulah air mata buat menangisi janji kelmarin

Ahad, 20 Oktober 2013

Ada Rama-rama Dalam Hatiku


...engkau datang lagi
menerjah-nerjah kotak ingatanku
setiap ucap kata terniang-niang satu demi satu

...engkau
datang mengusik damainya rasa
buat aku terkejang kaku bisu
arghhh, kenapa tak engkau menjauh saja
biar aku sendiri membalut semua luka

...ya, aku harus akui
menghapus jejak engkau payah sekali
bikin aku mahu menjerit 
biar isi dunia tahu betapa sakitnya beban dalam dada 

...iya, aku tahu semua bukan salah engkau
mahunya engkau yang muluk-muluk saja
sayangnya kita masih ada buku takdir
yang menulis segala rahsia hidup
masih berhijab semuanya

...mahu aku juga seperti engkau, serba muluk
serba mulus
tetapi sayangnya, kehendak takdir yang tertulis di Luh Mahfuz tidak begitu catatannya
lalu bagaimana harus aku menyikapi kemahuan engkau itu???

...bertanya-tanya aku pada Yang Maha Mengetahui
bagaimana takdir aku sesudah ini
masih belum punya jawabannya
termanggu aku, di celah-celah kesakitan yang amat sangat

...iya benar, menghapus jejakmu itu payah sekali.

Jumaat, 18 Oktober 2013

Ajaibnya sedekah...


Tidaklah akan berkurangan harta yang kita infaq/sedekahkan dengan ikhlas kerana Allah, melainkan Allah akan menggantinya dengan berlipat kali ganda. InsyaAllah.
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah sama seumpama benih gandum yang menumbuhkan tujuh biji benih gandum, pada tiap-tiap biji benih itu seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha mengetahui. Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperolehi pahala di sisi Tuhan mereka. tiada kekhuatiran kepada mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Al-Baqoroh : 261-263)

Khamis, 17 Oktober 2013

Kucing dan rezeki...

"Kadang-kadang Allah hantar seekor kucing untuk menjadi guru dan menguji kita supaya kita muhasabah.

Kalau seekor kucing datang meminta makanan, tapi kita halau dia, itu tanda kita kedekut dengan rezeki yang Allah beri kepada kita. Padahal, kucing tu minta sedikit saja daripada sisa makanan kita. Kita ada duit beribu-ribu, apa ruginya beli sebungkus nasi dan beri pada kucing.

Kadang-kadang, kucing bawa lari seekor ikan kembong yang kita beli di pasar. Anggaplah itu rezeki untuk kucing. Tak payahlah kejar kucing tu keliling kampung! Dia bukan ambil semua, seekor saja. Lainlah kalau kucing tu bawa lari peti sejuk, boleh la kejar sebab mahal.




Kita cita-cita nak syurga firdaus, tapi kita kedekut pahit. Muhasabahlah diri kita. Kalau nak  cepat kaya, murah rezeki, panjang umur dan terang dalam kubur nanti, selalulah kita beri makan pada binatang. Setiap makanan kita beri makan binatang itu dikira sedekah."
(Ustaz Azhar Idrus)

Rabu, 16 Oktober 2013

Perempuan sekarang biadap & zalim...???

Semlm hari raya korban, orang KL mcm aku memang tak ke mana-mana. Nak ke mana-mana pun malas, gitulah kisahnya. Memandangkan Ma cuma ada sebelah petang di rumah, jadi lepas solat Aidiladha aku cuma terperuk di dalam rumah. Masak dan masak...masak lagi, bosan punya pasal.

Macam-macam jenis makanan saya masak, pendek kata lepas solat Subuh tak berhenti memasak. Punyalah serius bosannya kan hehehehe! Jam 6.30pm, aku gerak balik ke rumah Ma di Serdang. Tak jauh manapun dari rumah, dalam 40 minit sampai. Tapi jem di sana sini, so sampai rumah 7.30pm.

Lepas solat, aku call adik lelaki (Iwan) yang duduk tak jauh dari rumah Ma. Gian nak membuli anak-anaknya, terutama  Aariyan (umurnya tak sampai setahun pun lagi, tengah sedap dibuli hahahaha). Tak sampai setengah jam, tiga beranak tu sampai. Iwan bawak sama anaknya yang sulung, lasaknya ya ampun tak terlayan dibuatnya.

Keletah Aariyan nan menghibur hati

Dari rumah tadi, aku dah siap bawak 'bahan beli jiwa' Aariyan. Ya Allah ralitnya tengok emosinya mengulum makanan. Bulat biji mata, sambil tangan berebut-rebut nak masuk dalam mulut. Serius...saat itu cukup menggembirakan aku. Gelagat budak kecil memang seronok dilayan, sewaktu ralit memerhatikan Aariyan aku teringat video penderaan kanak-kanak yang dishare di fb. Jeritan dan tangisan kanak-kanak yang dipukul bertubi-tubi itu kembali menyihir emosi.

Perasaan awal aku ketika kali pertama melihat video tu susah nak diluah dengan kata-kata, iPhone jatuh ke lantai (sebab waktu itu aku tengok ketika berdiri). Meremang bulu roma aku, darah dalam badan seolah-olah kering melihat pelakuan perempuan itu. Aku terduduk mendengar tangisan kesakitan kanak-kanak dalam video itu yang bergema di tengah-tengah ruang tamu rumah. Ya Allah, apalah kesalahan kanak-kanak itu sampai sanggup dipukul sebegitu rupa.


Sekadar hiasan...Gambar-Google
Hari itu mood aku mati, hilang selera makan...ada amarah yang sangat luar biasa dalam hati aku. Sumpah, kalau perempuan gila itu ada depan aku ketika itu memang jadi makanan cacinglah dia aku kerjakan. Mungkin emosi aku agak berlebihan, tapi aku percaya siapa pun akan marah melihat pelakuan dalam video itu dan mungkin ramai yang tak mahu menontonnya.

Kenapa aku sanggup menontonnya? Sebagai wartawan/penulis barangkali, aku sudah terbiasa memaksa diri melihat 'fakta' walau seteruk apa pun. Sepanjang 17 tahun menjadi wartawan/penulis, tiada kisah/fakta benar yang tak pernah aku tak tengok. Kalau tak tengok/ tak paksa tengok macam mana nak menulis?

Dan semalam, aku tunjuk video itu pada Iwan. Iwan, adik lelaki saya yang cukup suka budak-budak. Sebelum kahwin dulu, rajin sangat kelek anak buah ke hulur ke hilir. Apabila dah ada anak sendiri, janganlah tanya macam mana 'kan. Dimanjakan cukup-cukup, sampai Ma bising-bising sebab dia terlalu manjakan anaknya.

Iwan tengok video yang aku tunjukkan dengan muka berbaur emosi. Sepasang matanya yang tajam, sudah bergenang air mata. "Biadap! Zalim!" Tiba-tiba Iwan bersuara. Aku mengerti emosinya ketika itu, malah aku sendiri rasa nak bunuh orang waktu kali pertama melihat perbuatan itu.

 
Video penderaan melampau yang saya maksudkan ini berlaku di Filipina

"Perempuan sekarang memang kurang ajar! Biadap! Sakit jiwa ni, patutnya jangan biarkan hidup. Bunuh aje dia hidup-hidup. Budak kecik tu tau apa, pukul macam nak bunuh. Baik bunuh terus budak tu daripada seksa macam tu!" Emosi Iwan semakin berantakan. Aku mengerti kepedihan emosinya ketika itu. Apatah lagi dia seorang ayah kepada dua orang anak yang sangat disayangi.

"Sebab tu orang tak bagi Maria (isteri Iwan) kerja. Biarlah dia duduk di rumah jaga anak sampai besar, biarlah kami susah sikit janji anak selamat." Tambah Iwan, sambil mencium Aariyan penuh kasih. Kami hanyut dalam emosi masing-masing, aku nampak Iwan memeluk Aariyan kejap2 dan sekonyong-konyong suara kesakitan kanak-kanak dalam video itu menguasai emosi aku. Aku diam, menahan rasa.

"Zura (panggilan keluarga untuk aku), kalau ada anak esok jaga sendiri. Jangan bagi bibik, rumah pengasuh jaga anak tu." Pesan Iwan. Aku senyum saja. Tak mungkin aku izinkan sesiapa menyakiti kanak-kanak tak berdosa apatah lagi darah daging aku.

Aku berharap, kes penderaan seperti ini tidak terus memburuk. Tolonglah wahai manusia, jangan kamu zalimi hak orang lain walaupun cuma kanak-kanak yang hanya mampu menangis dan menjerit apabila dizalimi!!!

Isnin, 14 Oktober 2013

Janin yang terlindung...

Just sharing with love...

Sahabat, "Gambar yg disertakan menunjukkan bayi yg baru saja lahir berserta kantung air ketubang yg masih dalam keadaan baik.

Gambar ini menyampaikan mesej supaya kita semua berfikir bagaimana ALLAH AZZA WA JALLA menjadikan lendiran-lendiran ini sebagai wakil (pelindung) dari seorang janin tatkala ia berada di dalam kandungan ibunya,di saat dia tidak punya siapa-siapa melainkan ALLAH AZZA WA JALLA."

Seorang ulama pernah menyebut: "Tawakkal seorang bayi sangat tinggi melangit,dibandingkan tawakkal kita kepada ALLAH AZZA WA JALLA,bayi tidak mampu berbuat apa-apa dan menyerahkan takdir sepenuhnya untuk diperlakukan apapun,utk dibuang, digugurkan, dibunuh dsb. Tapi ALLAH AZZA WA JALLA Maha Pelindung, sekiranya berkehendak sebaliknya,maka dikirimlah malaikat penjaganya."

Gambar yang cukup mengagumkan dan membuatkan kita terfikir (jika mahu) akan keajaiban ciptaan dan  kuasa ALLAH AZZA WA JALLA. Itulah kekuasaan ALLAH AZZA WA JALLA