.

Rabu, 14 Disember 2011

Mek Mulung (Part 1)...

Aku bakal dapat 2 keping tiket free pementasan Mek Mulung Cahaya Bulan drpd sorg kwn baik juga pelakon teater tu. Disebabkan aku tak pernah tgk teater Mek Mulung sebelum ni, jd aku gigih mencari sumber mengenai teater yg dikatakan ada sedikit persamaan dgn MakYong. Kalau MakYong aku dah biasa tgk, dah belajar serba sedikit mengenainya waktu menjadi pelajar di ASK (Aswara) dulu.

Jadi, utk tak mengganggu tumpuan aku waktu menontonnya nanti, jadi aku pun tanya Mr. Google dan baca ulang kaji semula nota yg lepas2. So, apa yg korang baca kat bawah ni adalah hasilnya. Kalau ada kesilapan fakta, tak yah gigih nak saman aku pulak. Apa yg aku tempek kat sini cuma antara hasil carian aku daripada pelbagai sumber. Harap maklum. 

Gambar: NST
Mek Mulung versi 1:
Mek Mulung (atau Mek Mulong) ialah satu daripada teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di Kedah Darul Aman. Juga menjadi hiburan rakyat di negeri itu sejak zaman dahulu lagi.

Mek Mulung adalah satu adunan kesenian yang menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam suatu persembahan. Meskipun seimbas lalu persembahannya kelihatan begitu mudah, tetapi ia tetap mempunyai keunikan yang tinggi nilainya. Menurut satu laporan seorang pengamal kesenian Mek Mulung yang didakwa waris terakhir, ada himpunan sebanyak 20 cerita hikayat asal, namun sedikit sahaja masih kekal.

Sejarah Mek Mulung
Mek Mulung dikatakan berasal dari Ligor, Siam dan diperkenalkan di Kedah ketika berlaku persengketaan antara Kedah dan Siam. perttama diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang. Seterusnya berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah.

Asal-usul Mek Mulung
Kononnya pada zaman dahulu, ada sebuah keluarga miskin yang menjadikan hiburan sebagai sumber pendapatan. Seorang lelaki bernama Pak Mohor membuat sejenis alat muzik yang dipanggil geduk dan memalunya dengan gaya Menora. Isterinya pula membuat gendang dan memalunya cara Mak Yong. Sementara anak mereka bernama Mek Julung membuat sejenis alat muzik yang diberi nama semborong dan memalunya di sekeliling kampung.

Suatu hari, dalam keghairahan memalu semborongnya, Mek Julung tiba di tengah hutan. Di situ dia bertemu anak raja bernama Cahaya Bulan. Cahaya Bulan telah dibuang negeri lantaran hasutan seorang ahli nujum yang meramalkan bahawa dia akan menimbulkan malapetaka di dalam negeri.

Cahaya Bulan tertarik hati dengan persembahan Mek Julung, lalu baginda dan pengikutnya turut sama bermain dengan menambahkan lagi alat muzik sedia ada. Akhirnya kumpulan ini dinamakan Mek Mulung.

Persembahan
Persembahan Mek Mulung dimulai dengan upacara "bertabuh" di mana semua alat muzik dimainkan serentak. Selepas sepuluh minit, baru lagu pembukaan yang dikenali sebagai lagu "bertabik" dimainkan.

Lagu bertabik dimulakan  ketua kumpulan dan disambut ahli kumpulannya. Lagu ini dikatakan sebagai memberi penghormatan kepada segala keramat, jin, guru sebelumnya  dan para dewa. Sementara itu, tiga orang puteri akan menyanyi sambil menari. Tarian yang ditarikan, wujud dalam pelbagai bentuk; ia dibezakan gerak jari dan tangan bagi satu bentuk. Biasanya lima hingga tujuh jenis tarian akan dipersembahkan. Tarian-tarian itu ialah:

    1. Tarian Sembah
    2. Tarian Gambang
    3. Tarian Puteri Mabuk
    4. Tarian Menora
    5. Tarian Sirama
    6. Tarian Puteri Masuk Bilik Air
    7. Tarian Sedayung

Selesai tarian ini, maka selesailah lagu bertabik dan tamatlah satu senoh (1) dalam satu persembahan Mek Mulung. Setelah tamat satu senoh, pencerita akan memulakan hikayatnya. Peranan peristiwa ini dilakukan Pak Mulung. Pencerita dalam persembahan Mek Mulung sama seperti Tok Dalang dalam persembahan Wayang Kulit. Bezanya Tok Dalang menggerakkan patung wayang kulit sebagai pelakon manakala dalam teater Mek Mulung, pencerita turut sama berlakon dengan pelakon lain. Semua pertukaran adegan atau perpindahan suasana di dalam cerita dilakukan dengan cara nyanyian beramai-ramai. Nyanyian ini disertai pantun yang menarik. Permainan biasanya berlangsung sepanjang tiga malam atau lebih.

Persediaan
Sebelum sesuatu persembahan dijalankan, diadakan dulu upacara buka panggung. Upacara ini bertujuan agar semua pemain dan keseluruhan persembahan berjalan dengan selamat tanpa sebarang gangguan.

Bahan yang digunakan dalam upacara ini ialah sirih pinang, kemenyan dan minyak kelapa. Sirih dijampi dan diserahkan kepada pemain untuk dimakan, terutama puteri. Kemenyan digunakan untuk mengasap segala jenis alat muzik sementara minyak kelapa pula disapu pada gendang. Selepas itu, alat muzik ini tidak boleh dilangkah.

Upacara buka panggung ini dilakukan setiap kali mengadakan persembahan. Biasanya upacara buka gelanggang dilakukan di tempat persembahan, tetapi ia juga boleh dilakukan di rumah sebelum permainan dimulakan.

Nyanyian
Selain daripada lakonan dan tarian, nyanyian juga nadi pada persembahan Mek Mulung. Di antara lagu yang biasanya didendangkan ialah :

   1. Timang Welo
   2. Lagu Berjalan
   3. Anak Udang
   4. Raja Beradu

Adakalanya terdapat beberapa lagu popular rakyat seperti "Canggung" dan "Dondang Sayang" yang didendangkan di mana ia adalah suatu unsur baru yang dibawa masuk sebagai satu langkah untuk menarik perhatian penonton.

Pakaian
Pelakon dan penari dalam persembahan Mek Mulung memakai pakaian tertentu. Raja atau Pak Mulung memakai sepasang baju Melayu, bersamping songket, sehelai tengkolok, sibai iaitu selampai penutup bahu dan dada, ikat bengkung serta sisipan sebilah keris pada bahagian pinggang.

Peran (Awang) memakai pakaian biasa; sama ada sehelai kain pelekat dan ikat pinggang dengan baju "singlet" ataupun berseluar dan berbaju biasa. Bagaimanapun mereka mesti mempunyai sehelai kain bebat pengikat pinggang dan memakai topeng. Topeng inilah yang membezakan watak dan tugas masing-masing.

Tok Wak pula biasanya memakai kain biasa disamping memakai topeng berwarna hitam. Sementara itu watak Inang memakai kain bersama sehelai penutup kepala. Penari pula memakai baju kebaya labuh persis pakaian seorang wanita.

Bentuk Cerita
Kebanyakkan cerita yang terdapat dalam persembahan Mek Mulung adalah cerita yang mereka anggap benar dan pernah terjadi pada zaman dahulu. Unsur jenaka mendapat tempat dalam lakonan Mek Mulung dan biasanya dibawa  watak peran. Pelakon mengambil peristiwa seharian sebagai bahan jenaka. Bagaimanapun, keaslian jalan cerita tetap tidak dipesongkan.

Di antara cerita yang sering dimainkan ialah :

   1. Lakon Afrit
   2. Batak Putih
   3. Cahaya Bulan
   4. Malim Bongsu
   5. Dewa Muda

Tarian
Tarian adalah suatu aspek penting dalam persembahan Mek Mulung, seperti teater tradisi yang lain. Tarian adalah unsur penting dalam cerita dan persembahan Mek Mulung. Penari juga digunakan sebagai "korus" terutama apabila berlaku adegan dalam cerita.

Tarian dimulakan sebaik sahaja selesainya lagu bertabik. Setiap gerak tari diiringi irama muzik. Penari memulakan tarian ketika duduk di lantai dengan cara membuka sembah. Kemudian berdiri dan terus melangkah membentuk sebuah bulatan. Tarian diakhiri susunan sembah ketika duduk.

Pelakon-Pelakon
Raja atau Pak Mulung adalah watak utama dalam persembahan Mek Mulung. Dia dibantu tiga Orang Peran iaitu Peran tua, Peran Muda, Peran Kiau, seorang ahli nujum yang dipanggil Tok Wak, seorang Inang dan beberapa orang penari.

Jumlah Peran adakalanya lebih dari tiga orang. Keadaan ini bergantung pada ahli kumpulan yang hendak bermain pada satu-satu masa. Meskipun begitu, watak peran tambahan hanya dikenali sebagai "peran" sahaja tanpa apa-apa gelaran khusus. Semua pelakon adalah terdiri daripada lelaki.

Pelakon Mek Mulung tidak mendapat latihan berlakon secara khusus, mereka rata-ratanya memiliki kebolehan semula jadi disamping sedikit latihan. Latihan biasanya dijalankan pada waktu malam. Selepas waktu Isyak, ahli kumpulan akan berkumpul di rumah ketua kampung untuk mengadakan latihan apabila hendak megadakan sesuatu persembahan.

Kebanyakan anggota kumpulan Mek Mulung terdiri daripada kaum keluarga dan saudara-mara. Justeru, mereka melantik orang yang tertua di kalangan mereka untuk menjadi ketua. Tua dalam erti kata usia, kedudukan dalam keluarga dan pengalaman dalam persembahan Mek Mulung.

Mek Mulung tidak menggunakan skrip. Cerita atau hikayat disimpan dihafal untuk dijadikan panduan dan juga pedoman semasa membawakan sesuatu lakonan. Tidak ada pengarah khas yang dilantik dalam menjayakan persembahan Mek Mulung, namun masing-masing memahami dan tahu tanggungjawab serta peranan masing-masing.

Bahasa pengucapan dalam persembahan Mek Mulung adalah bahasa Melayu harian loghat Kedah serta di selang-seli loghat Melayu Patani. Dialog dituturkan secara spontan dan biasanya watak peran akan membangkitkan perkara yang berlaku pada setiap hari sebagai bahan untuk mencuit hati penonton.

Peralatan Muzik
Alat muzik yang digunakan dalam persembahan Mek Mulung terdiri daripada :

        * Semborong = 1
        * Ibu Semborong = 2
        * Anak Semborong = 1
        * Gong = 1
        * Serunai = 1
        * Cerek = 2 hingga 3
(Dulu terdapat juga "canang" dan "kesi" dalam senarai alat muzik Mek Mulung.)

'Set' dan 'Prop'
Persembahan Mek Mulung tidak menggunakan apa-apa "set". Semua "setting" hanya dibina pelakon mengikut imaginasi masing-masing. Sementara "Prop" yang digunakan adalah topeng untuk watak peran,golok (diperbuat daripada kayu),seikat rotan yang dipanggil "Rotan Ke Tujuh", dan sebatang kayu yang disebut "Tongkat Wak"

Sembah Guru
Selain daripada upacara buka panggung pada setiap kali sebelum persembahan, satu lagi upacara yang penting di dalam teater Mek Mulung ialah Upacara Sembah Guru. Acara ini lebih besar daripada acara buka panggung dan diadakan sekali dalam setahun.

Upacara Sembah Guru yang berlangsung selama 3 malam ini adalah upacara tahunan yang mesti diadakan. Kalau tidak, besar kemungkinan para ahli kumpulan Mek Mulung akan ditimpa bencana terutamanya ketua kumpulan.

Upacara sembah guru bermula dengan majlis kenduri. Seekor kambing akan disembelih untuk tujuan ini. Kemudian barulah persembahan Mek Mulung diadakan. Kebiasaannya pada malam pertama, lakonan hanya akan diadakan sedikit sahaja. Lakonan ini disambung pada malam berikutnya dan ditamatkan pada malam ketiga. Pada malam terakhir inilah ramuan untuk persembahan kuasa ghaib disajikan dan terdapat pula ahli kumpulan yang "melupa". Ketika ini orang sakit akan diusung masuk ke dalam bangsal untuk berubat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan